Monday, January 11, 2010

politik Kelantan awal abad ke-19: Pergolakan atau keamanan

PENDAHULUAN



Suasana politik Kelantan awal abad ke-19 sentiasa diselubungi oleh pelbagai tempo yang saling berkesinambungan dengan politik Terengganu dan Siam. Kupasan tentang politik Kelantan awal abad ke-19: Pergolakan atau keamanan memperihalkan tentang suasana politik pada zaman Sultan Muhammad I dan Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan hingga pertengahan abad ke-19. Kupasan ini akan dipecahkan kepada dua pemerintah Kelantan yang memerintah pada masa tersebut yang telah disebut sebelumnya tadi.



PENGENALAN

Long Yunus yang telah ditabalkan sebagai sultan di Kelantan pada tahun 1776 setelah berjaya mengalahkan Raja Legih dan Raja Kubang Labu dengan mendapat bantuan kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah (1740-1794). Bermula dengan itu kekuatan Terengganu di Kelantan dapat diperkemaskan lagi dan keamanan dalam erti kata pada masa itu dapat ditegakkan. Walau bagaimanapun, peristiwa pelantikan Tengku Muhammad sebagai Yang Dipertuan Negeri Kelantan pada 1795 selepas kemangkatan Long Yunus telah menimbulkan iklim politik yang tidak seimbang di Kelantan.



ZAMAN SULTAN MUHAMMAD I

I

Rahmat Saripan dalam bukunya Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776-1842 menyebut “...kerajaan Kelantan yang dipegang oleh putera Long Yunus itu bergelar Sultan Muhammad I menampakkan struktur kuasa yang lebih mantap.” Tambahnya lagi “...merupakan titik permulaan perkembangan struktur kuasa kerajaan Kelantan yang bebas dan berdaulat.” Pernyataan ini menggambarkan bahawa hilangnya kepertuanan Terengganu terhadap Kelantan dan Kelantan diperintah oleh wangsanya sendiri iaitu wangsa Long Yunus.

Melihat kepada skop keamanan yang dapat dipamerkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad I sebenarnya memanag diakui wujudnya Kelantan seperti yang diperikan oleh Rahmat Saripan dalam tulisannya yang tersebut. Sultan Muhammad merupakan pemerintah Kelantan yang mula-mula menggunakan gelaran ‘Sultan’ bagi menggambarkan ketertinggian kuasa politiknya. Semasa pemerintahannya, Kelantan telah dapat mengalahkan Terengganu yang sudah sekian lama mengidamkan untuk meneruskan pertuanannya di bumi Kelantan sekaligus telah mengwujudkan iklim politik yang bebas dan berdaulat di Kelantan. Sultan Muhammad I turut memperkenalkan pemerintahan bercorak aristokrat atau kebangsawanan bagi mendapatkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pembesar-pembesar negeri. Sokongan padu ini telah berjaya menjamin keseimbangan perjalanan pemerintahan Kelantan pada waktu tersebut.





II

Perang Kelantan-Terengganu 1801-1802

Sememangnya terdapat fakta yang menyokong bahawa semasa pemerintahan Sultan Muhammad I iklim politiknya berada dalam keadaan bebas dan berdaulat yang merintis kepada keamanan di Kelantan. Namun begitu, analisa yang dapat dipaparkan di sini melalui pengamatan dan pembacaan adalah zaman Sultan Muhammad I ini merupakan zaman yang penuh dengan pergolakan terhadap iklim politiknya. Analisa ini berpijak di bumi nyata melalui peristiwa perang dua tahun yang tercetus antara Kelantan dengan Terengganu pada 1801.

Pergeseran politik di Kelantan sudah mula berbenih semasa perlantikan Yang Dipertuan Muhammad Ibni Sultan Mansur Shah sebagai Yang Dipertuan Kelantan pada tahun 1795 lagi. Hal ini telah menimbulkan pergeseran di kalangan kerabat-kerabat diraja Kelantan kerana Yang Dipertuan Muhammad merupakan kerabat diraja Terengganu. Semetelahan lagi, Yang Dipertuan Muhammad memilih penasihat-penasihat baginda daripada kalangan pembesar dari Terengganu sedangkan perlantikan baginda dibuat dalam Majlis Mesyuarat dan Muafakat yang terdiri dari kerabat-kerabat diraja Kelantan. Peristiwa perancangan Sultan Zainal Abidin II mengadakan perkahwinan politik bagi memperkuatkan kedudukan Yang Dipertuan Muhammad telah menjadi pencetus kepada penentangan putera-putera diraja Kelantan.

Kekalutan iklim politik yang semakin membarah antara Yang Dipertuan Muhammad dengan Sultan Muhammad I telah menimbulkan suasana huru-hara di Kelantan kerana telah meletusnya peperangan yang mempunyai tujuan yang amat bertentangan bagi kedua-dua pihak yang terlibat. Pihak Terengganu ingin menguatkan kembali ketuanannya di Kelantan sekali gus menaikkan kembali kewibawaannya sebagai negeri penaung, manakala bagi pihak Kelantan pula mereka ingin memerintah Kelantan melalui pemerintah mereka sendiri iaitu wangsa Long Yunus dan pada masa yang sama menjadi sebuah negeri yang bebas dan berdaulat.

Peperangan tercetus selepas beberapa bulan selepas pengusiran Yang Dipertuan Muhammad ke Terenggganu. Serangan gelombang pertama oleh Terengganu pada tahun 1801 telah mencapai kemenangan ekoran mendapat bantuan ketenteraan kerajaan Patani. Walaupun begitu, gelombang kedua tercetus apabila tentera Terengganu telah menghadapi pertempuran sengit yang tidak sekali-kali diduga oleh mereka dan peristiwa ini telah membawa kepada kekalahan Terenggganu.



III

Pergeseran Long Tan dengan Long Jenal

Long Tan merupakan pembesar Galas yang kaya dan telah dilantik menjadi Raja Temengong seterusnya bertindak sebagai penasihat kanan Sultan Muhammad. Manakala Long Jenal dianugerahkan dengan jawatan Raja Bendahara. Keakraban yang ditonjolkan oleh Sultan Muhammad I terhadap Raja Temenggong Long Tan dan mengenepikan Raja Bendahara Long Jenal telah membawa implikasi yang buruk terhadap politik Kelantan kerana hal ini telah mencetuskan pertelingkahan di antara kedua-dua belah pihak terlibat.

Long Jenal telah membawa Kelantan ke kancah pergolakan apabila telah terlibat dalam pemberontakan Raja Patani terhadap pemerintah Siam. Hikayat Seri Kelantan menjelaskan bahawa Raja Patani itu merupakan putera Raja Bendahara Long Jenal . Malangnya pemberontakan ini telah dapat dipatahkan oleh pihak Siam yang memaksa Long Jenal berundur kembali ke Kelantan. Peristiwa ini telah mengurangkan lagi kewibawaan yang ingin ditonjolkan oleh Long Jenal agar dapat menguatkan pengaruhnya dalam politik Kelantan. Langkah yang dihayun oleh Raja Bendahara Long Jenal penuh kesumbangan.

Pergeseran ini tidak terhapus begitu sahaja. Dendam kesumat Long Jenal terhadap Long Tan telah merasuk akalnya sehingga Long Jenal sanggup mendalangi pembunuhan Long Tan sebagaimana yang diriwayatkan:



“Maka Raja Bendahara upah orang Cina Galas suruh buat Raja Temenggung. Maka Raja Temenggung memegang tanah Galas itu.maka ada suatu hari Raja Temenggung mudik pergi ke Hulu Galas dengan ada pekerjaan, maka datang orang Cina itu buat Raja Temenggung serta dibakar mayat.”



Peristiwa pembunuhan ini telah menyebabkan Sultan Muhammad I telah mengarahkan Raja Bendahara Long Jenal agar diusir dari Kelantan. Pergeseran pembesar-pembesar Kelantan telah mewujudkan iklim politik yang tidak sihat di Kelantan dan hal ini telah menimbulkan pergolakan dan menidakkan keamanan.





SULTAN MUHAMMAD II

I

Perang Saudara 1838-1839

Kemangkatan Sultan Muhammad I pada tahun 1837 tanpa meninggalkan seorang waris telah menambahkan lagi keparahan ketidakamanan iklim politik Kelantan. Perkara ini telah mencetuskan masalah dalam penggantian bakal Sultan Kelantan. Long Jenal telah menimbulkan kekecohan di Kelantan apabila telah bertindak kembali dari buangan di Benara dan menuntut perlantikan sebagai Sultan Kelantan. Tuntutan baginda telah dipersetujui oleh kerabat diraja Kelantan dan pemerintahan baginda telah mencecah selama dua tahun.

Berlaku ketidakpuasan hati oleh pewaris Yang Dipertuan Kelantan yang dinamakan oleh Almarhum Sultan Muhammad I iaitu Tuan Senik mulut Merah, anak Raja Temenggung Long Tan. Dalam Majlis Negeri tahun 1837 terdapat perasaan tidak puas hati dipihak Tuan Senik Mulut Merah kerana tidak dapat berbuat apa-apa kerana Long Jenal telah terlebih dahulu menuntut takhta dan telah diterima menjadi Yang Dipertuan .

Walaupun begitu, menurut Hikayat Seri Kelantan mengatakan, “ Maka Tuan Senik Mulut Merah ada muafakat adik-beradik rembut langgar ambil kita kerajaannya (Yang Dipertuan long Jenal), lalu masuk bedil tikam –menikam.” Penentangan bersenjata telah tercetus di Kelantan didalangi oleh Tuan Senik Mulut Merah dan Tuan kota terhadap Yang Dipertuan Long Jenal. Kekacauan ini berlarutan hampir dua tahun dan mengalami penyudahnya selepas mendapat campur tangan daripada Raja Ligor. Setelah kedatangan utusan Raja Ligor itu pihak Yang Dipertuan Long Jenal terpaksa berundur dari Kelantan. Namun Yang Dipertuan Long Jenal cuba mendapatkan kerjasama daripada Raja Ligor. Usaha baginda sis-sia sahaja kerana Raja Ligor berkenan dengan Tuan Senik Mulut Merah. Penyudahnya, menjelang tahun 1839 pihak Siam telah mengiktiraf Tuan Senik Mulut Merah sebagai Yang Dipertuan Kelantan dengan gelaran sultan Muhammad II dan Tuan Kota sebagai Sultan Dewa.



II

Penentangan Tuan Besar Kampung Laut

Politik Kelantan terus bergolak menerusi penentangan Tuan Besar terhadap Sultan Muhammad II yang dapat digalurkan bermula sejak pertengahan tahun 1838 apabila Yang Dipertuan Long Jenal disingkirkan dari Kelantan buat pertama kalinya dan Sultan Muhammad II diiktiraf oleh Siam. Tuan Besar yang dilantik sebagai Raja Kampung laut mengidamkan jawatan Perdana Menteri dan apabila tidak dilayan oleh sultan Muhammad, Tuan Besar telah membuat pakatan untuk menjatuhkan sultan Muhammad daripada takhtanya. Walaupun tidak menampakkan seperti akan melakukan penentangan secara terbuka, namun Tuan Besar telah mengarahkan pembinaan kubu-kubu pertahanan di tebing sebelah barat sungai Kelantan telah menimbulkan rasa waswas Sultan Muhammad II . Sultan Muhammad II mengambil tindakan menghubungi pemerintah Siam bagi meminta pertolongan.

Keadaan yang tidak aman yang ditimbulkan melalui ura-ura akan berlakunya perang telah menyebabkan rakyat Kelantan hidup dalam kebimbangan. Serangan nekad yang menjadi gelombang terbesar dan terakhir apabila angkatan perang Tuan Besar menyerang Kota Bharu melalui tiga penjuru; dari sebelah barat (Tuan Long Nik), dari sebelah selatan iaitu Bukit Merak ( Tuan Long Ahmad) dan dari timur laut iaitu Tikat ( Raja Chik) tetapi telah dapat ditumpaskan oleh angkatan tentera Sultan Muhammad II. Namun penentangan daripada Tuan Besar Kampung Laut dan penyokong-penyokongnya hanya dapat dipadamkan melalui pakatan Siam dengan Sultan Muhammad II.



III

Sultan Dewa

Sebelum berlakunya pergolakan diantara Sultan Muhammad II dengan Sultan Dewa, Sultan Dewa merupakan penyokong kuat kepada sultan Muhammad II. Pertentangan yang berlaku sebenarnya apabila diteliti adalah disebabkan wujudnya kebimbangan oleh Sultan Muhammad II terhadap kewibawaan Sultan Dewa yang menjadi Raja Bendahara pada ketika itu. Kewibawaan Sultan Dewa ini terpampar melalui penguasaan sepenuhnya terhadap rakyat di kawasan yang ditadbirnya. Kewibawaan Sultan Dewa ini telah menyebabkan Sultan Muhammad II yang sedang giat mengewarwarkan pembentukan sistem pemusatan kuasa mula tidak sefahaman dengan dasar yang diamalkan oleh Sultan Dewa. Bagi mengatasi masalah kecelaruan ini, Sultan Muhammad telah meminta bantuan Ligor dan penyelesaiannya Sultan Dewa telah di bawa ke Ligor dan diarahkan menetap di sana.



KESIMPULAN

Iklim politik Kelantan pada awal abad ke-19 dicemari oleh pelbagai pergolakan yang telah mencetuskan huru-hara di Kelantan. Tahun pemerintahan Sultan Muhammad I dan Sultan Muhammad II diselangi dengan pelbagai pergeseran politik sama ada yang dicetuskan oleh pembesar tempatan Kelantan atau pembesar dari negeri-negeri jiran. Terengganu dan Siam merupakan dua kuasa yang ingin menunjukkan pertuanannya di Kelantan. Hal-hal yang tercetus sama ada hal-hal minor mahupun major berkaitan dengan politik Kelantan telah mencetuskan pergolakan yang asyik kunjung tiba dan silih berganti. Fenomena ini menidakkan keamanan yang wujud pada pertengahan awal abad ke-19 di Kelantan.







BIBLIOGRAFI



Abdullah Mohamed ( Nakula) (1981). Keturunan raja-raja Kelantan dan peristiwa-peristiwa bersejarah. Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.



Andaya, B. W., dan Andaya, L. Y., (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd.



Jawatankuasa Kolokium (1991). Masyarakat Melayu abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Kobkua Suwannathat-Pian (1991). Sejarah Thai zaman Bangkok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.



Mohd. Taib Osman (2004). Hikayat seri Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Muhammad Husin Khal’ie Haji Awang (1969). Kelantan dari zaman ke zaman. Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd.



Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman (Penyunting) (1987). Kelantan zaman awal: kajian arkeologi dan sejarah di Malaysia. Kota Bharu: Perbadanan muzium Negeri Kelantan Istana Jahar.



Rahmat Saripan (1979). Perkembangan politik Melayu tradisional Kelantan 1776-1842. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.



Roff, W. R., (Ed.). Kelantan : religion, society and politics ia a Malay state. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

No comments:

Post a Comment